Anak Kecil Yang Takut Api Neraka

Anak Kecil Yang Takut Api Neraka

Dalam sebuah riwayat menyatakan bahawa ada seorang
lelaki tua sedang berjalan-jalan di tepi sungai,
sedang dia berjalan-jalan dia terpandang seorang anak
kecil sedang mengambil wudhu' sambil menangis.

Apabila orang tua itu melihat anak kecil tadi
menangis, dia pun berkata, "Wahai anak kecil kenapa
kamu menangis?"

Maka berkata anak kecil itu, "Wahai pakcik saya telah
membaca ayat al-Qur'an sehingga sampai kepada ayat
yang berbunyi, "Yaa ayyuhal ladziina aamanuu quu
anfusakum" yang bermaksud, ‘Wahai orang-orang yang
beriman, jagalah olehmu sekalian akan dirimu’. Saya
menangis sebab saya takut akan dimasukkan ke dalam api
neraka."

Berkata orang tua itu, "Wahai anak, janganlah kamu
takut, sesungguhnya kamu terpelihara dan kamu tidak
akan dimasukkan ke dalam api neraka."

Berkata anak kecil itu, "Wahai pakcik, pakcik adalah
orang yang berakal, tidakkah pakcik lihat kalau orang
menyalakan api maka yang pertama sekali yang mereka
akan letakkan ialah ranting-ranting kayu yang kecil
dahulu kemudian baru mereka letakkan yang besar. Jadi
tentulah saya yang kecil ini akan dibakar dahulu
sebelum dibakar orang dewasa."

Berkata orang tua itu, sambil menangis, "Sesungguhnya
anak kecil ini lebih takut kepada neraka daripada
orang yang dewasa. Maka bagaimanakah keadaan kami
nanti?"

Catatan:

Telah Allah ciptakan neraka itu yang bahan bakarnya
terdiri daripada batu dan manusia. Maka, janji Allah
pasti terlaksana. Cuma menunggu masanya.

Pernahkah kita terfikir akan panasnya neraka itu?
Adakah kita berasa bahawa kita akan selamat
daripadanya?

Lihatlah diri kita dengan penglihatan yang suci
daripada sifat ujub dan bangga diri. Amal kita ketika
ini menuju syurga atau neraka Allah? Solat kita.
Apakah solat itu terbang tinggi ke sisi Tuhan atau
sekadar tiba di langit pertama lantas dilempar keras
ke muka kita semula?

Sama-samalah kita memperingati sementara kita masih
diberi masa. Mati tidak menanti tua dan sakit. Ramai
orang yang hidupnya tanpa sakit tetapi pergi
meninggalkan dunia secara tiba-tiba.

Semoga kita sentiasa berada di kalangan orang-orang
yang ruku’ dan sujud kepada Tuhan alam semesta ini.

Wahai akhawat fillah sama-sama kita doa moga kita
sentiasa di dalam keredhaannya. Mencintai Allah dan
berkasih sayang sesama kita hanya kerana-Nya.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Pengaruh Perbezaan Qiraat dalam Istinbat Hukum

Catatan Dhuha

Senyum Dalam Kesabaran